Tuesday, 22 January 2019

Bersama dengan Menteri Pendidikan




Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan sistem pendidikan dengan memberi penekanan kepada aspek kemanusiaan dan berasaskan nilai dengan memupuk budaya kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata ketiga-tiga budaya itu diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan positif dengan kesejahteraan sosial dan emosi anak-anak sekolah diberi keutamaan.
"Sebahagian daripada usaha kita untuk membina sistem pendidikan berasaskan nilai ini, termasuk bekerja dengan pihak yang berada di luar sistem pendidikan.
"Sesetengah perkara seperti pembelajaran sosial dan emosi tidak boleh hanya disandarkan kepada tanggungjawab sekolah dan guru-guru saja.
"Justeru kita bekerjasama dengan ibu bapa dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha ini," katanya semasa berucap di Forum Pendidikan Dunia 2019 di London.
Maszlee antara 62 penceramah dari pelbagai negara yang menyampaikan ucapan di bawah tajuk "Pembelajaran Sosial dan Emosi serta Perkembangan Baru dalam Pedagogi".
Forum itu berlangsung selama tiga hari mulai semalam.
Pengaruhi cara belajar
Penceramah lain termasuk Menteri Pendidikan Azerbaijan Jeyhun Bayramov; Menteri Pendidikan Asas dan Menengah Gambia, Claudiana Cole; Ketua Eksekutif British Council, Ciaran Devane; dan pengasas bersama Education Fast-Forward, Jim Wynn.
Maszlee berkata peranan ibu bapa penting dalam perkara itu ketika kerajaan menggandakan usaha meningkatkan lagi penglibatan para ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.
“Ketika ini lebih 90 peratus sekolah Malaysia menyaksikan ibu bapa terlibat dalam kebanyakan acara sekolah. Pada masa depan kami merancang untuk menjadikan hubungan ini lebih bermakna," katanya.
Beliau seterusnya turut menekankan keperluan untuk perkongsian dengan pemegang taruh luar seperti NGO kerajaan dan sektor swasta yang turut membantu dalam usaha-usaha kementerian.
Sebagai contoh Maszlee berkata Project Kindness yang dilancarkan di Malaysia dengan objektif membawa penglibatan para pelajar kepada aktiviti-aktiviti pembelajaran.
“Salah seorang pelajar, Saiful Ikhwan, dipilih mewakili Malaysia di Persidangan Kemuncak Pembangunan Belia Afrika November lepas, bagi membangunkan the #ENDviolence Youth Manifesto,” katanya.
Maszlee juga percaya penerapan teknologi digital dalam pendidikan mempercepatkan perubahan dalam tingkah laku, nilai dan tindakan, yang seterusnya mempengaruhi cara mereka belajar serta kemampuan untuk belajar.
“Jargon baru dan terma-terma seperti big data, pembelajaran mesin dan kepintaran buatan, kini mendominasi persekitaran dasar-dasar pendidikan,” tambahnya.
Pada masa depan, Maszlee berkata, kerja-kerja pendidikan memerlukan peserta industri utama untuk menjadi lebih berkolaborasi dan kreatif, di samping penting bagi pendidik untuk mengutamakan pembelajaran sosial dan emosi di kalangan pelajar.
Sumber dari berita Malaysiakini 23/1/2019


0 coment�rios:

Post a Comment