Malaysia berhasrat
untuk mengukuhkan sistem pendidikan dengan memberi penekanan kepada aspek
kemanusiaan dan berasaskan nilai dengan memupuk budaya kebahagiaan, kasih
sayang dan saling menghormati.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata
ketiga-tiga budaya itu diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang
menyeronokkan, selamat dan positif dengan kesejahteraan sosial dan emosi
anak-anak sekolah diberi keutamaan.
"Sebahagian daripada usaha kita untuk
membina sistem pendidikan berasaskan nilai ini, termasuk bekerja dengan pihak
yang berada di luar sistem pendidikan.
"Sesetengah perkara seperti pembelajaran
sosial dan emosi tidak boleh hanya disandarkan kepada tanggungjawab sekolah dan
guru-guru saja.
"Justeru kita bekerjasama dengan ibu bapa
dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha ini," katanya semasa
berucap di Forum Pendidikan Dunia 2019 di London.
Maszlee antara 62 penceramah dari pelbagai
negara yang menyampaikan ucapan di bawah tajuk "Pembelajaran Sosial dan
Emosi serta Perkembangan Baru dalam Pedagogi".
Forum itu berlangsung selama tiga hari mulai
semalam.
Pengaruhi cara belajar
Penceramah lain termasuk Menteri Pendidikan
Azerbaijan Jeyhun Bayramov; Menteri Pendidikan Asas dan Menengah Gambia,
Claudiana Cole; Ketua Eksekutif British Council, Ciaran Devane; dan pengasas bersama
Education Fast-Forward, Jim Wynn.
Maszlee berkata peranan ibu bapa penting dalam
perkara itu ketika kerajaan menggandakan usaha meningkatkan lagi penglibatan
para ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.
“Ketika ini lebih 90 peratus sekolah Malaysia
menyaksikan ibu bapa terlibat dalam kebanyakan acara sekolah. Pada masa depan
kami merancang untuk menjadikan hubungan ini lebih bermakna," katanya.
Beliau seterusnya turut menekankan keperluan
untuk perkongsian dengan pemegang taruh luar seperti NGO kerajaan dan sektor
swasta yang turut membantu dalam usaha-usaha kementerian.
Sebagai contoh Maszlee berkata Project
Kindness yang dilancarkan di Malaysia dengan objektif membawa penglibatan para
pelajar kepada aktiviti-aktiviti pembelajaran.
“Salah seorang pelajar, Saiful Ikhwan, dipilih
mewakili Malaysia di Persidangan Kemuncak Pembangunan Belia Afrika November
lepas, bagi membangunkan the #ENDviolence Youth Manifesto,” katanya.
Maszlee juga percaya penerapan teknologi
digital dalam pendidikan mempercepatkan perubahan dalam tingkah laku, nilai dan
tindakan, yang seterusnya mempengaruhi cara mereka belajar serta kemampuan
untuk belajar.
“Jargon baru dan terma-terma seperti big
data, pembelajaran mesin dan kepintaran buatan, kini mendominasi
persekitaran dasar-dasar pendidikan,” tambahnya.
Pada masa depan, Maszlee berkata, kerja-kerja
pendidikan memerlukan peserta industri utama untuk menjadi lebih berkolaborasi
dan kreatif, di samping penting bagi pendidik untuk mengutamakan pembelajaran
sosial dan emosi di kalangan pelajar.
Sumber dari berita Malaysiakini 23/1/2019